Monday, January 25, 2010

Sebaik-baik kejadiankah kita manusia?

Seperti mana tajuk di atas, sememangnya manusia adalah sebaik-baik kejadian alam ciptaaan Tuhan yang Maha Esa. Kita dianugerahkan akal fikiran yang memandu kita untuk membezakan yang mana satu perkara baik dan mana satu perkara buruk. Namun sebaliknya selalu terjadi di alam yang fana ini, kadangkala manusia yang sepatutnya dipanggil manusia tidak selayaknya digelar sedemikian. Ada pula makhluk bergelar manusia ini berubah warna menjadi makhluk lain yang lebih rendah statusnya, dibuang segala akal fikiran berharga itu. Yang sepatutnya bergelar manusia bertindak kurang waras dan liar dalam perjalanan hidup mereka.
Seringkali persoalan seperti ,"Mengapa adanya manusia yang sanggup membuang anak sendiri?" dan lazimnya pertanyaan ini dibalas, "Sedangkan kucing pun sayangkan anak". Itulah yang terjadi apabila manusia suka bertindak melulu tanpa merujuk akal fikiran, hitam dan putih warna kehidupan sudah tidak mampu dikenali lagi. Maka itulah keadaannya, halal haram diredah saja dan kini penyakit sosial meruncing dunia. Semakin moden dunia ini, semakin bercelaru perilaku pelakon-pelakonnya. Sebetulnya ia perlu mengikut arus iaitu jika semakin moden dunia ini, maka semakin bertamadunlah penduduk-penduduknya bukan sebaliknya yang berlaku.
Jika kita sering menyelak akhbar-akhbar tempatan terutamanya akhbar Metro yang sangat digemari warga Malaysia kerana ke'sensasi'annya itu, pasti sakit pandangan mata dengan hanya membaca setiap tajuk-tajuknya. Kebanyakannya kejadian masalah sosial yang sangat membimbangkan mengenai golongan remaja, tetapi kini bukan remaja sahaja malah golongan pertengahan berusia 30an ke atas dan generasi tua yang "rumah kata pergi, kubur kata mari" pun tidak terkecuali daripada senarainya.
Dari sudut pandangan saya, ia banyak difaktorkan oleh penggunaan akal fikiran yang tidak digunakan sebaik-baiknya. Secara dasarnya akal fikiran patut dijadikan tunjang kepada setiap perilaku kita, namun banyak yang telah menyimpang arus. Kini senario telah memperlihatkan nafsu menjadi akar segala-galanya, dengan menampakkan penggunaan nafsu melebihi akal fikiran telah menjadi paksi utama yang mencetuskan segala fenomena kejahatan. Mengambil kata pepatah Melayu, "ikut hati mati, ikut rasa binasa". Maka ambillah pengajaran seelok-eloknya daripada peribahasa ini.
Dari elemen yang lain pula manusia zaman kini terlalu terikut-ikut faktor arus semasa, terlalu meniru budaya barat yang sememangnya sentiasa sesat itu. Sedarlah kalau dahulu penjajahan British ke atas negara kita telah pun dipadamkan, namun masih ada lagi satu jenis penjajahan yang akan kekal selama-lamanya. Walaupun negara-negara Barat tidak lagi menjajah negara-negara Timur, namun yang pasti kini mereka masih lagi dapat melakukan penjajahan tetapi dengan cara yang berbeza pula. Penjajahan ini dinamakan penjajahan akhlak, sememangnya betul kerana kini tersebar meluas pengaruh budaya mereka ke atas bangsa kita. Dan yang tidak menapis pengaruhnya terus menyalin bulat-bulat sebiji-biji tanpa usul periksa dan rujukan akal fikiran.
Di akhir kata, kita hanya dapat menyimpulkan satu saja pegangan dan pengajaran berguna iaitu gunakanlah sebaik-baiknya anugerah Tuhan yang berharga itu.

0 comments: